Thursday, September 9, 2010

Berjalan Ramadan Pergi, Merangkak Air Mata Mengalir

Aku menyahut salam tetamu ku yang pergi meninggalkan aku. Katanya, dia perlu beredar pergi bagi memberi ruang kepada rakan karibnya yang sering datang selepasnya. Maka, kemenangan yang besar di bawa oleh rakan karibnya. Kemenangan umat Islam di seluruh dunia yang wajib diraikan. Perintah ini datangnya dari Ilahi, bukannya pena peribadi. Allah SWT perintahkan supaya umat Islam meraikan hari kemenangan pada 1 Syawal menerusi surah al-Baqarah ayat 185. Mafhumnya, bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai penjelas-penjelas dari petunjuk itu dan sebagai pembeza maka sesiapa yang telah menyaksikan bulan tersebut diantara kamu hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang dalam keadaan sakit ataupun berada dalam perjalanan maka gantikanlahnya dari hari-hari yang lain, Allah menghendaki bagi kamu kesenangan dan tiada Dia menghendaki bagi kamu kesukaran dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan tersebut dan hendaklah kamu membesarkan Allah di atas apa yang ditunjuk kamu dan mudahan kamu berterima kasih. Aku memanggil Ramadan untuk datang bertandang, tetapi panggilan aku tidak dihiraukan. Wahai Ramadan, pemergianmu membuatkan aku kesunyian. Mengalir air mata ku ketika kamu melangkah pergi. Alangkah kamu dapat berada di samping ku untuk masa yang lebih lama. Aku merindui mu wahai Ramadan. Sebelas bulan aku menanti kedatangan mu, hanya sebulan dapat aku curahkan rasa kasih dan sayang aku kepada mu. Aku rindu pada kesucian kamu yang menggunung. Alangkah labih baik engkau dapat menemani malam – malam aku buat masa yang lebih panjang. Engkau berikan kepada aku segala ketenangan dan kegembiraan yang aku inginkan. Wahai Ramadan, kelebihan yang engkau datangkan kepada aku tiada tandingannya. Pinta ku, bertandanglah buat masa yang lebih panjang. Bukankah ianya lebih baik buat kita berdua. Tapi aku tahu engkau patuh pada suruhan tuhan mu yang penuh dengan kebenaran. Sesungguhnya tuhan mu itu jauh lebih berkuasa. Dialah pemilik kerajaan yang tidak bertepi ini. Dialah yang lebih mengetahui apa yang lebih baik bagi kita berdua.

Kejemuan aku menzahirkan rasa cinta ku kepada mu tidak akan pernah lahir wahai Ramadan. Aku cinta pada mu dan segala isi yang engkau bawa bersama mu. Pulanglah kembali wahai Ramadan, sesungguhnya pemergian mu ditangisi. Kerinduan aku kepada mu sudah mula timbul. Aku rindu pada mu. Aku rindu pada mu. Aku khuatir jika aku tidak dapat berjumpa dengan mu pada masa hadapan. Tapi aku akur jika pencipta aku dan kamu mengambil kunci jasad ku ini; kerana Dialah maha kuasa, Dialah yang berkuasa atas setiap manusia yang ada di atas muka Bumi ini. Maka sujud dan patuh ku hanya tertumpah pada tuhan ku yang satu. Tetapi Ramadan, pemergian mu menarik air mata ku mengalir turun dari kolam mata ku. Rasa rindu dan sedih akan pemergian mu tidak dapat aku tahan. Kesucian mu hilang bagai sekelip mata setelah beredarnya kamu pergi. Keriangan beribadat sujud kepada pencipta di malam hari bagai pudar warna di kain yang meniti zaman tua. Tarawikh tidak akan disebut tanpa kehadiran mu wahai Ramadan. Keenakan bangun bersahur tidak akan sama tanpa ditemani kamu wahai Ramadan.

Tapi pengganti mu perlu dilayan sebagai tetamu. Maka kemenangan aku dan seluruh umat Islam akan aku sambut pada 1 Syawal. Janganlah engkau bersedih wahai Ramadan, memori mu tidak akan luntur dari ingatan aku yang sentiasa menanti kedatangan dan seri wajah mu wahai Ramadan. Raikanlah kemenangan kita pada 1 Syawal dengan membesarkan – besarkan Allah. Takbirlah pada malam Syawal dan pada 1 Syawal itu. Sebutlah nama pencipta mu, takbirlah supaya takbir itu dapat bergema, dan memenuhi setiap pelosok langit. Gemakanlah Bumi dipijak ini dengan nama maha suci Allah yang tidak mati, tidak berjantina dan kuasa yang tiada berpenghujung. Sujudlah pada tuhan mu di pagi 1 Syawal, zahirkan rasa syukur yang tiada sempadan. Sambutlah 1 Syawal dengan penuh kesederhanaan, keinsafan dan kesyukuran. Ingatlah pada pencipta kamu, Allah SWT. Hidupnya manusia atas kuasa Allah, matinya manusia atas kehendak Allah yang satu dan segala ruh dan amal manusia adalah milik Allah ‘azawajal.