Friday, August 6, 2010

Ketaatan, Kedaulatan dan Kebudayaan

Sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia mendengar lagu Negaraku dimainkan. Lagu ini selalunya sinonim dengan perhimpunan sekolah, majlis-majlis kerajaan dan swasta dan sewaktu pagi sebelum kelas bermula di sekolah-sekolah bantuan kerajaan atau lebih dikenali dengan nama sekolah kebangsaan. Mengikut protokol, apabila lagu Negaraku dimainkan, setiap individu yang berada di dalam linkungan perlulah berdiri bagi melahirkan rasa hormat dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara. Ini merupakan fenomena di seluruh dunia. Jarang dapat kita lihat di majlis-majlis awam, apabila lagu kebangsaan sesebuah negara dimainkan, para tetamu sibuk bertukar pendapat dan menghabiskan masa dengan bersembang dan bergurau senda. Apa yang zahir dimata ialah mereka berdiri dan menyanyi bersama jika mereka tahu akan lagu tersebut, manakala yang kurang upaya, mereka hanya mengangkat tangan atau meletakkan telapak tangan mereka di atas dada menandakan bahawa negara mereka berada dihati pada setiap masa. Kedaulatan sesebuah negara terletak pada pundak setiap wira negara yang bakal menjadi pemimpin di esok hari. Kedaulatan yang mantap dan baik dapat melahirkan sebuah negara maju yang mampu bersaing di arena global tanpa menghiraukan bedalan taufan dan aliran deras arus globalisasi. Jaminan keamanan dan kestanbilan sesebuah negara datangnya dari kedaulatan yang tidak pernah layu dan tidak bermaya.

Ketika saya masih berada di sekolah dahulu, sudah menjadi kebiasaan saya untuk ke setiap kelas pada setiap pagi hari persekolahan untuk menutup lampu dan mempersilakan para pelajar supaya keluar dari kelas, berbaris di kaki lima dan bersedia untuk nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa. Kehairanan saya memuncak apabila memikirkan perkara ini. Jika rakyat negara ini gagal untuk melaksanakan sesuatu mudah bagi menandakan ketaatan pada negara, bagaimana pula nasib kedaulatan negara? Menghormati lagu Negaraku merupakan sesuatu yang penting. Sesuatu yang amat mudah tetapi nilai yang amat kompleks. Kegagalan rakyat negara ini menzahirkan kehormatan kepada kedaulatan negara merupakan sesuatu yang memalukan dan lansung tidak dapat diterima. Mungkin pada kebanyakan remaja, ini semua tidak mempunyai makna yang mendalam, tetapi tidaklah tentera Nippon memaksa nenek moyang kita menyanyikan lagu Kimigayo dan berdiri tegak bagi menghormati lagu tersebut. Pada hemat saya, sesiapa yang gagal menghormati lagu Negaraku sama seperti pembelot negara. Kedaulatan negara bukanlah satu lawak jenaka. Erti kedaulatan negara sukar untuk dirasai oleh jenerasi yang bebas melakukan apa sahaja yang mereka sukai. Tidak pernahkah terlintas di hati kita semua apakah akan terjadi jika kedaulatan negara kita musnah begitu saja. Keamanan akan bertaburan dan kekacauan mengalir ke setiap pelosok negara. Kita bebas melakukan apa sahaja yang kita suka. Saya juga bebas menulis artikel ini. Mustahil untuk kita semua berperilaku sebegini jika negara kita di bawah cengkaman penjajah.

Ramai berpendapat bahawa penjajahan kuasa besar ke atas negara lain tidak lagi berlaku pada ketika ini. Kebenaran pemikiran itu sukar untuk dipastikan. Memang tidak pernah lagi saya dengar kuasa-kuasa besar dunia menakluk sesuatu negara tetapi mereka hanya menceroboh dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Penaklukan negara pada masa kini dan akan datang mungkin akan berubah wajah. Mungkin penaklukan akan berlaku melalui dunia tanpa sempadan, internet. Siapa yang tahu? Tetapi bukankah menghindari itu lebih dari mengubati. Bukanlah nyawa melayang jika kita menghormati lagu kebangsaan kita. Kebaikan mungkin datang dengan wajah yang gembira. Kedaulatan mungkin akan menjadi lebih sihat dan bersemangat.

Terdapat juga sebilangan pelajar yang tidak menghiraukan lagu Negaraku dan hanya duduk di dalam kelas. Mereka kelihatan lebih tekun menyiapkan kerja rumah atau mengulangkaji pelajaran. Tiada gunanya jika kita mempunyai pemikiran yang tajam, tetapi harga diri yang lebih rendah dari seorang yang hina. Di mata saya, mereka itu tiada istimewanya. Apabila saya serta rakan menegur kesalahan mereka, pandangan yang cukup 'istimewa' diberikan oleh mereka kepada saya. Saya mungkin tiada yang baiknya, saya mungkin tidak sepandai mereka, saya mungkin buta mindanya, tetapi saya cukup pasti, jika mereka gagal untuk menghormati lagu Negaraku, adakah mereka berjaya untuk menghormati diri mereka sendiri. Dunia ini ada pengakhirnya, hidup ini tak semua sempurna, nyawa ini ada simpulnya, sampai di simpul itu, maka terpisahlah jasad dan nyawa. Jika jasad dan nyawa ciptaan tuhan ini ada pengakhirnya, apatah lagi kerajaan buatan manusia. Memang semua yang hidup akan mati tetapi lebih baik kita panjangkan nyawa negara yang tercinta ini supaya kita dapat hidup untuk hari esok yang lebih bahagia dan menyediakan ruang nyawa bagi anak dan cucu kita yang akan datang. Hasrat kerajaan untuk melihat keamanan dalam negara akan menjadi lebih mudah untuk dicapai jika kita dapat sama-sama berganding bahu bagi memelihara kedaulatan negara. Tanggungjawab ini letaknya pada bahu kita semua. Menuding jari mencari kesalahan orang lain merupakan tindakan yang sia-sia kerana meludah ke langit akan jatuh ke atas batang hidung sendiri. Maka budaya tidak menghormati lagu Negaraku ini perlulah dilupuskan dengan segera tanpa syarat dan perjanjian.

Biar apa bangsa kita sekalipun atau warna kulit atau anutan agama, kita ini hanya satu keluarga. Sama-sama kita eratkan hubungan sesama kita kerana kitalah 1Malaysia.



Azim Omar menulis dari pendangan pelajar.

No comments: